14 April, Tajuk diatas tu diambil dari tajuk bahagian sukan di akhbar harian Metro hari ni. Agak menarik juga tajuk tu sehingga saya terasa untuk membeli akhbar itu,memotong keratannya dan ditampal di dinding walaupun saya sudah membaca ceritanya di internet sebelum itu.
Apa yang dimaksudkan dengan Liverpool menagih 'taji' Torres itu? Tidak dinafikan, Liverpool pada ketika ini amat berharap pada prestasi dan kehebatan Torres untuk memberi tekanan pada Chelsea dan sekaligus mengubah merit kepada kemenangan di Stamford Bridge awal pagi esok.
Dengan keadaan kapten pasukan Steven Gerrard yang masih lagi dalam pengawasan akibat mengalami kecederaan di pangkal paha, Torres dilihat sebagai senjata tunggal yang akan mengetuai jentera serangan Liverpool. Javier Mascherano yang kembali setelah digantung satu perlawanan, akan sekali lagi bergandingan bersama Xabi Alonso di bahagian tengah.
Seperti yang dikatakan oleh Guus Hiddink, mereka sudah serik untuk melayan Liverpool dan akan mengambil pengajaran dari perlawanan lalu kerana Liverpool memiliki rekod yang cemerlang di peringkat Eropah. Rafael Benitez juga berkata, Liverpool tidak akan rugi apa-apa untuk perlawanan kali ni kerana Chelsea sahaja yang akan tertekan dengan tekanan 'mesti menang'. Jadi Liverpool akan menggunakan kesempatan ini untuk mengalahkan Chelsea.
Berbalik semula kepada tajuk awal tadi, Torres mengatakan Chelsea hanya akan bertahan sahaja untuk perlawanan timbal balik ini, namun penyerang Sepanyol itu berpendapat, Chelsea pasti akan cuba juga untuk menjaringkan gol dan kesempatan itu akan digunakan oleh Liverpool untuk menjaringkan gol.
Pada pendapat saya, untuk kelab yang berstatus seperti Chelsea, mereka pasti akan cuba untuk menunjukkan yang mereka bukanlah sebuah kelab yang hanya akan bertahan sahaja setelah mendapat tempat yang selesa. Kelab yang ego seperti mereka, pasti akan cuba menambah jaringan walaupun pada dasarnya mereka tahu itu satu langkah yang merbahaya lebih-lebih lagi dengan pasukan seperti Liverpool.
Apa pun, awal pagi esok akan menentukan keputusan sama ada Liverpool mampu mengulangi peristiwa yang tercatat di Istanbul 2005. - scham


0 comments:
Post a Comment